KUALA LUMPUR 14 Jan. – Semua kakitangan awam dilarang sama sekali terlibat dalam skim cepat kaya termasuk sebagai penganjur atau pelabur berkuat kuasa semalam.

Mana-mana kakitangan yang ingkar larangan tersebut akan dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Larangan tersebut dikeluarkan menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2009 yang boleh dilayari di www.jpa.gov.my dan telah diedarkan kepada semua pihak yang berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam berkata, dengan berkuat kuasa larangan tersebut, semua kakitangan awam yang terlibat dalam skim tersebut termasuk sebagai penganjur, pengantara dan pelabur dikehendaki menghentikan penglibatan mereka serta-merta.

Kakitangan awam yang melabur dalam skim cepat kaya akan dikenakan tindakan tatatertib kerana boleh diertikan sebagai bersubahat atau bersekongkol dengan penganjur atau pengantara skim tersebut,” katanya dalam arahan pekeliling tersebut.

Menurut Ismail, penglibatan kakitangan awam dalam skim tersebut sama ada secara langsung atau tidak langsung ternyata telah menjejaskan imej perkhidmatan awam.

Selain itu, katanya, pengendali skim cepat kaya turut mengeksploitasi penglibatan kakitangan awam bagi memberi gambaran seolah-olah skim sedemikian telah diluluskan oleh kerajaan untuk menarik pelabur lain.

“Gejala yang tidak sihat itu boleh menyebabkan pegawai yang terlibat terjebak dengan masalah kewangan, kekeluargaan dan kemasyarakatan serta akhirnya menjejaskan prestasi selaku penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata, setiap ketua jawatan mesti bertanggungjawab memantau kakitangan awam di bawah seliaan masing-masing dan melaporkan sebarang tindakan tidak patuh untuk tindakan sewajarnya.

0 comments

diskripsi tugas dirujuk kepada laman web SPA