ALOR SETAR: “Ketika berbual melalui telefon bimbit ibunya malam tadi (kelmarin), dia memberitahu mahu pulang ke rumah kerana rindu neneknya. Tak sangka pula ia perbualan terakhir kami,” kata Norhanisha Othman, 23, ibu saudara Muhammad Faiz Iqhmal Iskandar, 2, yang mati dipercayai akibat didera teman lelaki ibunya.

Mangsa dipercayai meninggal dunia jam 3 petang ketika berada dalam jagaan ibunya di rumah mereka di Kampung Berjaya, Mergong, dekat sini, semalam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan V Saravanan berkata, pihaknya mendapati ada beberapa kesan kecederaan termasuk lebam di muka, bahu dan tangan mangsa.

“Polis akan menyiasat dari segala sudut termasuk kemungkinan mangsa menjadi mangsa dera hingga menyebabkan kematiannya, namun masih menunggu keputusan bedah siasat sebelum mengklasifikasikan kes,” katanya ketika dihubungi. Norhanisha berkata, kakaknya, Nurhafiza, 25, yang juga ibu mangsa menghubungi keluarganya bagi memaklumkan anaknya terjatuh dari tangga sebelum dibawa ke sebuah klinik.


“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di klinik berkenaan sebelum kes dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya.


Menurutnya, sebelum ini arwah pernah mengadu dipukul ibunya dan suspek yang berusia 20-an, malah terdapat kesan lebam di beberapa bahagian badannya setiap kali pulang ke rumah ibunya di Flat Simpang Kuala, di sini.

Norhanisha berkata, arwah dijaga oleh ibunya, Padzilah Ismail, 46, sejak dilahirkan sehingga kini disebabkan kakaknya yang bekerja sebagai pembantu restoran sudah berpisah dengan suaminya, Iskandar Abu Bakar, 29, ketika mangsa berusia lima bulan.


“Muhammad Faiz memang tinggal dengan ibu saya, tetapi sejak beberapa bulan lalu kakak kerap membawanya pulang ke rumahnya selepas mengenali lelaki terbabit yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Malah, saya pernah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada Ogos lalu selepas menemui beberapa kesan gigitan dan lebam di badan Muhammad Faiz yang dipercayai dilakukan lelaki terbabit,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB, di sini.


Padzilah pula berkata, dia terkilan kerana tidak sempat bertemu dengan cucu sulungnya yang sepatutnya pulang ke rumahnya semalam, walaupun baru dua hari kanak-kanak itu tinggal bersama ibu kandungnya dan lelaki terbabit.


Menurutnya, dia sememangnya tidak merestui hubungan anaknya dengan lelaki terbabit kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap.


“Saya menghalang mereka berkawan rapat. Apa yang saya bimbangkan selama ini akhirnya berlaku apabila cucu saya menjadi mangsa dan meninggal dunia dipercayai akibat didera.


“Bagaimanapun, saya reda dengan apa yang berlaku, tetapi pasti akan merindui arwah kerana dia seorang yang petah bercakap, aktif dan comel,” katanya. Dalam pada itu, Iskandar berkata, kali terakhir dia bertemu dengan anak tunggalnya itu selepas Aidilfitri lalu berikutan Muhammad Faiz dijaga keluarga bekas mentuanya.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan arwah meninggal dunia dan tidak menyangka perkara seumpama ini berlaku, malah langsung tidak tahu mengenai hubungan bekas isteri dengan lelaki itu. Namun, saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya dalam nada sebak.

Jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Al Ghufran, Jalan Pegawai, di sini, pagi ini.

Dalam pada itu, pekarangan luar wad kecemasan HSB kecoh apabila datuk dan ibu saudara mangsa berang terhadap suspek.

Suspek yang dilihat menaiki kerusi roda mendakwa kakinya turut patah akibat terjatuh dari tangga bersama mangsa menyebabkan berlaku pertengkaran mulut dengan datuk dan ibu saudara mangsa, sebelum dileraikan polis.

harian metro


Kuala Lumpur: Mulai tahun depan, semua institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) akan dikenakan yuran perlindungan penuntut.

bagi memastikan pengajian pelajar tidak terjejas jika kolej atau universiti swasta itu berdepan risiko ditutup atau menghentikan operasinya.


Tidak membebankan

Universiti swasta, kolej universiti dan kampus cawangan universiti luar negara dikenakan yuran RM100,000, manakala kolej swasta sebanyak RM10,000.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin, berkata yuran itu perlu dibayar setiap kali IPTS memohon memperbaharui lesen operasi, iaitu lima tahun sekali.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira masalah yang terpaksa dilalui pelajar jika institusi pengajian mereka berdepan masalah dan menghentikan operasi.
“Pembayaran hanya dikenakan setiap kali pembaharuan lesen dan tidak akan membebankan IPTS.

Melindungi pelajar

“Ia bertujuan melindungi pelajar supaya tidak perlu dibebani bayaran jika terpaksa dipindahkan ke institusi lain untuk meneruskan pengajian selain kerajaan mahu memastikan IPTS menjalankan operasi secara serius,” katanya ketika merasmikan Pesta Pelajaran The Star semalam.

Khaled berkata, yuran itu akan dimasukkan di bawah satu tabung bagi membantu pelajar dan bantuan akan disalurkan mengikut kes.

Katanya, untuk tempoh lima tahun pertama, dianggarkan sebanyak RM10.5 juta dapat dikumpul.

Khaled berkata tahun ini, 33 IPTS dalam pertimbangan untuk ditutup atas pelbagai sebab.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Pengajian Komunikasi Bahasa Melayu dan Malaysia akan menjadi mata pelajaran wajib untuk penuntut antarabangsa di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

sumber berita harian


KLANG: “Kau memang degil, tak hormat orang tua! Kalau aku tumbuk kau muntah tak? Kenapa kau tak suka dengar cakap orang?”

Itu antara dialog seorang lelaki sebelum memukul, menumbuk dan menendang serta menampar seorang kanak-kakak lelaki berusia lingkungan dua tahun dipercayai anaknya yang rakaman videonya tersebar luas menerusi facebook.

Kejadian di rumah mereka di Taman Mas, Kapar, di sini, dipercayai berlaku kira-kira dua bulan lalu sebelum dirakam dan dimuat naik ke facebook oleh isteri pertama lelaki itu minggu lalu.

Difahamkan, mangsa adalah anak hasil perkahwinan lelaki berusia 32 tahun itu yang bekerja sebagai mekanik dengan isteri keduanya. Video dengan durasi 8 minit 33 saat itu memaparkan mangsa dibelasah bapanya tanpa belas kasihan.


Mangsa turut diangkat sebelum dilempar ke atas lantai. Suspek juga tidak mengendahkan mangsa yang menangis kesakitan dan ketakutan, sebaliknya terus membelasahnya tanpa belas kasihan termasuk menggunakan senduk dan selipar.

Sumber harian metro


PETALING JAYA – Pelakon Farid Kamil akan memberi penjelasan dalam waktu terdekat mengenai isu menyalahgunakan pakaian istiadat pasukan keselamatan semasa majlis resepsi persandingannya dengan aktres Diana Danielle.

Jurucakap syarikat produksi Metrowealth International Group (MIG) berkata, kenyataan yang bakal dibuat Farid itu bagi menghuraikan segala kekeliruan dan salah faham sesetengah pihak mengenai tindakan tersebut.

“Kami menyedari mengenai pertikaian berhubung uniform yang dipakai Farid tempoh hari dan ia sebenarnya adalah satu masalah kecil,” jelas wakil syarikat itu ketika dihubungi mStar Online di sini pada Rabu.

Farid tidak dapat memberi komen kerana dia sedang sibuk menguruskan majlis resepsi persandingan sebelah pihak lelaki di Jitra, Kedah yang berlangsung pada Rabu (hari ini).

Kata jurucakap itu, kenyataan rasmi tersebut akan dibuat oleh Farid selepas dia kembali ke Kuala Lumpur apabila semua urusan majlis persandingannya selesai.

Pada Ahad lalu sebuah akhbar menerusi ruangan pojok melaporkan Farid mungkin dikenakan tindakan saman kerana menyalahgunakan pakaian istiadat pegawai pasukan keselamatan berpangkat Majer Jeneral pada majlis resepsi persandingannya yang diadakan di Taman Ekuestrian Putrajaya dekat sini pada 1 Disember lalu.

Farid dan Diana bernikah pada 3 November lepas di Hotel Flamingo By The Lake, Ampang, dekat sini.

Terdahulu, dalam satu kenyataan kepada mStar Online Selasa lalu, Pegawai Perhubungan Media, Unit Komunikasi, Kementerian Pertahanan, Leftenan Komander Rahimah Taib berkata, pakaian dipakai Farid itu bersifat cacamarba kerana mempunyai lencana pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kata Rahimah, ia adalah pandangan peribadinya sebagai pegawai ATM. – MStar


EBLAG (Poland) – Seorang suami yang cuba meyakinkan isterinya dia mampu melakukan kerja rumah ditimpa malang apabila secara tidak sengaja menyeterika mukanya sendiri.

Tomas Paczkowski, 32, menyeterika sambil menonton perlawanan tinju di televisyen.

Kerana terlalu asyik menonton, dia tanpa sengaja tertekan seterika panas ke wajahnya apabila mendengar bunyi telefon.

Paczkowski ditimpa malang sekali lagi kerana ketika berlari ke bilik air untuk menjirus air sejuk ke mukanya, dia terhantuk pintu.

Paczkowski mencederakan diri selepas ingin membuktikan kepada isterinya, Lila dia boleh melakukan kerja rumah sebaik isterinya itu. “Saya memutuskan menyeterika pakaian ketika Lila keluar bekerja untuk membuktikan saya juga boleh melakukan kerja rumah.

“Wanita selalu melakukan pelbagai tugas dalam satu masa, jadi saya menghidupkan seterika, membuka botol bir sambil menonton perlawanan tinju di televisyen,” katanya.

Dia juga memberitahu matanya lebam akibat terhantuk di pintu.

“Rupa-rupanya sukar untuk melakukan kerja rumah. Saya benar-benar menghormati apa yang dilakukan isteri selama ini,” katanya.

sumber

diskripsi tugas dirujuk kepada laman web SPA