Kota Bharu: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sudah mengemukakan isu kehadiran anggota tentera dalam perlawanan menentang Johor Darul Takzim (JDT) kepada Pesuruhjaya Perlawanan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa melalui kenyataan dalam laman facebooknya berkata, beliau belum bersedia mengulas lanjut perkara itu.


Namun beliau menantikan reaksi daripada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin terhadap isu itu.

“Saya ingin dengar komen Menteri Pertahanan dan Menteri Belia dan Sukan. Saya juga menanti reaksi Panglima ATM kerana namanya dikaitkan juga.


“Saya tidak dapat komen sebab tidak pernah jumpa kes macam ini,” katanya. Semalam akhbar melaporkan, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil menjelaskan kehadiran komando GGK berkenaan ditugaskan untuk bersedia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu berikutan ayahandanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar akan berangkat untuk menyaksikan perlawanan berkenaan.


Tunku Ismail turut mempertikaikan ketiadaan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) yang mengawasi perlawanan itu.

Bagaimanapun, melalui tinjauan wartawan, Sultan Ibrahim tidak berada di stadium sebaliknya anggota komando GGK itu dilihat menaiki bas bersama pemain pasukan JDT.


Akhbar sebelum ini melaporkan penyokong Kelantan mempersoalkan tindakan PBNJ menempatkan anggota tentera yang lengkap bersenjata berkawal di pintu masuk padang ketika perlawanan Liga Super antara Kelantan dan JDT di Stadium Sultan Muhammad IV, malam Selasa lalu.

Sementara itu, Setiausaha KAFA, Azman Ibrahim berkata, hanya polis yang boleh memberi penjelasan ketiadaan anggota FRU.


Katanya, beliau juga menganggap kehadiran anggota tentera itu sebagai ‘patung’ yang mengawal stadium.


“Saya tidak mahu komen kerana saya anggap anggota tentera yang ada pada malam perlawanan itu hanya sebagai patung yang dipasang bateri.


“Penjelasan untuk ketiadaan FRU perlu dapatkan daripada pihak polis,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/articles/KAFAaduisuanggotatenterakepadaFAM//Article

0 comments

diskripsi tugas dirujuk kepada laman web SPA