Kota Bharu: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sudah mengemukakan isu kehadiran anggota tentera dalam perlawanan menentang Johor Darul Takzim (JDT) kepada Pesuruhjaya Perlawanan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa melalui kenyataan dalam laman facebooknya berkata, beliau belum bersedia mengulas lanjut perkara itu.
Namun beliau menantikan reaksi daripada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin terhadap isu itu.
“Saya ingin dengar komen Menteri Pertahanan dan Menteri Belia dan Sukan. Saya juga menanti reaksi Panglima ATM kerana namanya dikaitkan juga.
“Saya tidak dapat komen sebab tidak pernah jumpa kes macam ini,” katanya. Semalam akhbar melaporkan, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil menjelaskan kehadiran komando GGK berkenaan ditugaskan untuk bersedia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu berikutan ayahandanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar akan berangkat untuk menyaksikan perlawanan berkenaan.
Tunku Ismail turut mempertikaikan ketiadaan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) yang mengawasi perlawanan itu.
Bagaimanapun, melalui tinjauan wartawan, Sultan Ibrahim tidak berada di stadium sebaliknya anggota komando GGK itu dilihat menaiki bas bersama pemain pasukan JDT.
Akhbar sebelum ini melaporkan penyokong Kelantan mempersoalkan tindakan PBNJ menempatkan anggota tentera yang lengkap bersenjata berkawal di pintu masuk padang ketika perlawanan Liga Super antara Kelantan dan JDT di Stadium Sultan Muhammad IV, malam Selasa lalu.
Sementara itu, Setiausaha KAFA, Azman Ibrahim berkata, hanya polis yang boleh memberi penjelasan ketiadaan anggota FRU.
Katanya, beliau juga menganggap kehadiran anggota tentera itu sebagai ‘patung’ yang mengawal stadium.
“Saya tidak mahu komen kerana saya anggap anggota tentera yang ada pada malam perlawanan itu hanya sebagai patung yang dipasang bateri.
“Penjelasan untuk ketiadaan FRU perlu dapatkan daripada pihak polis,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/articles/KAFAaduisuanggotatenterakepadaFAM//Article
ALOR SETAR: “Ketika berbual melalui telefon bimbit ibunya malam tadi (kelmarin), dia memberitahu mahu pulang ke rumah kerana rindu neneknya. Tak sangka pula ia perbualan terakhir kami,” kata Norhanisha Othman, 23, ibu saudara Muhammad Faiz Iqhmal Iskandar, 2, yang mati dipercayai akibat didera teman lelaki ibunya.
Mangsa dipercayai meninggal dunia jam 3 petang ketika berada dalam jagaan ibunya di rumah mereka di Kampung Berjaya, Mergong, dekat sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan V Saravanan berkata, pihaknya mendapati ada beberapa kesan kecederaan termasuk lebam di muka, bahu dan tangan mangsa.
“Polis akan menyiasat dari segala sudut termasuk kemungkinan mangsa menjadi mangsa dera hingga menyebabkan kematiannya, namun masih menunggu keputusan bedah siasat sebelum mengklasifikasikan kes,” katanya ketika dihubungi. Norhanisha berkata, kakaknya, Nurhafiza, 25, yang juga ibu mangsa menghubungi keluarganya bagi memaklumkan anaknya terjatuh dari tangga sebelum dibawa ke sebuah klinik.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di klinik berkenaan sebelum kes dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB),” katanya.
Menurutnya, sebelum ini arwah pernah mengadu dipukul ibunya dan suspek yang berusia 20-an, malah terdapat kesan lebam di beberapa bahagian badannya setiap kali pulang ke rumah ibunya di Flat Simpang Kuala, di sini.
Norhanisha berkata, arwah dijaga oleh ibunya, Padzilah Ismail, 46, sejak dilahirkan sehingga kini disebabkan kakaknya yang bekerja sebagai pembantu restoran sudah berpisah dengan suaminya, Iskandar Abu Bakar, 29, ketika mangsa berusia lima bulan.
“Muhammad Faiz memang tinggal dengan ibu saya, tetapi sejak beberapa bulan lalu kakak kerap membawanya pulang ke rumahnya selepas mengenali lelaki terbabit yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.
“Malah, saya pernah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada Ogos lalu selepas menemui beberapa kesan gigitan dan lebam di badan Muhammad Faiz yang dipercayai dilakukan lelaki terbabit,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB, di sini.
Padzilah pula berkata, dia terkilan kerana tidak sempat bertemu dengan cucu sulungnya yang sepatutnya pulang ke rumahnya semalam, walaupun baru dua hari kanak-kanak itu tinggal bersama ibu kandungnya dan lelaki terbabit.
Menurutnya, dia sememangnya tidak merestui hubungan anaknya dengan lelaki terbabit kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap.
“Saya menghalang mereka berkawan rapat. Apa yang saya bimbangkan selama ini akhirnya berlaku apabila cucu saya menjadi mangsa dan meninggal dunia dipercayai akibat didera.
“Bagaimanapun, saya reda dengan apa yang berlaku, tetapi pasti akan merindui arwah kerana dia seorang yang petah bercakap, aktif dan comel,” katanya. Dalam pada itu, Iskandar berkata, kali terakhir dia bertemu dengan anak tunggalnya itu selepas Aidilfitri lalu berikutan Muhammad Faiz dijaga keluarga bekas mentuanya.
“Saya terkejut apabila dimaklumkan arwah meninggal dunia dan tidak menyangka perkara seumpama ini berlaku, malah langsung tidak tahu mengenai hubungan bekas isteri dengan lelaki itu. Namun, saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya dalam nada sebak.
Jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Al Ghufran, Jalan Pegawai, di sini, pagi ini.
Dalam pada itu, pekarangan luar wad kecemasan HSB kecoh apabila datuk dan ibu saudara mangsa berang terhadap suspek.
Suspek yang dilihat menaiki kerusi roda mendakwa kakinya turut patah akibat terjatuh dari tangga bersama mangsa menyebabkan berlaku pertengkaran mulut dengan datuk dan ibu saudara mangsa, sebelum dileraikan polis.
harian metro