PENGALAMAN Lim Wai Chee dalam bidang rekaan barang kemas memang tidak boleh dipertikaikan lagi. Selama 15 tahun wanita itu mengabdikan diri, memerah otak menghasilkan rekaan barang kemas yang dipakai wanita hari ini.
Kepuasannya ialah apabila dia melihat wanita hari ini mula sedar akan kepentingan barang kemas yang bukan sekadar untuk bergaya malah yang lebih utama ia merupakan salah satu medium pelaburan.
"Sekarang mungkin wanita tidak lagi gemar memakai barangan kemas yang sarat kerana faktor keselamatan. Kes jenayah ragut membuatkan wanita semakin berhati-hati dan memakai barang kemas seadanya," ujarnya yang ditemui pada sesi melawat kilang pembuatan barangan kemas Tomei baru-baru ini.
Tetapi atas faktor keselamatan, gambar Wai Chee tidak boleh diambil untuk disertakan dalam artikel ini.
Wai Chee yang memang taksub dengan kerjayanya berkata, emas bagi setiap kaum memiliki maknanya yang tersendiri.
"Kaum Cina contohnya mesti mempunyai barang kemas yang dijadikan hadiah dari ibu bapa kepada anak yang berkahwin. Ini satu kemestian. Corak barangan kemas yang popular untuk tujuan ini pula ialah motif naga," katanya yang berkelulusan dari bidang seni halus dari sebuah institusi pengajian tinggi swasta.
Menceritakan bagaimana dia memperolehi idea untuk menghasilkan koleksi barang kemas, Wai Chee berkata, dia banyak mengambil inspirasi melihat gambar-gambar di Internet. Namun dia juga pasti tidak melupakan untuk menambah ciri Malaysia pada setiap rekaan yang dihasilkan.
"Saya melihat trend reka bentuk barangan kemas di Malaysia ini berkembang sama seperti pakaian. Pesatnya perubahan fesyen di satu-satu negara turut mendorong kepada perubahan dalam corak barangan kemas yang dipilih pelanggan.
"Sebab itu kilang ini tidak menghasilkan dalam kuantiti yang banyak untuk satu-satu corak kerana permintaan akan berubah mengikut musim.
"Satu ketika corak lama kembali popular dan ia akan berulang mengikut pusingan dan bergantung kepada musim," katanya.
Wai Chee mengamalkan konsep bekerja secara berkumpulan kerana baginya kerjasama berkumpulan akan menghasilkan pengeluaran yang lebih baik.
"Pada saya sebenarnya emas ini lebih dekat di hati orang Melayu. Pada kaum Cina pula selain hadiah perkahwinan mereka suka membeli bar emas untuk disimpan sebagai pelaburan.
"Memang kita sudah lama dalam bidang penghasilan barangan kemas namun itu tidak bermakna barangan yang dihasilkan tidak mengikut perkembangan semasa," jelasnya.
utusan online
APABILA bercakap tentang emas, orang selalu mengaitkannya dengan prestij kerana ia merupakan antara barangan paling berharga.
Tentu ramai yang menyangka seperti mana gemerlapnya emas yang dipakai, begitu juga dengan tempat di mana ia dihasilkan.
Tetapi realitinya kilang yang menghasilkan barang kemas itu selalunya terletak di tempat yang pasti anda tidak terfikir sama sekali.
Semua ini demi mematuhi aspek keselamatan agar kewujudannya tidak diketahui ramai. Malah pekerja yang berkhidmat di kilang tersebut juga telah dimaklumkan oleh bahagian sumber manusia ketika mereka menandatangani kontrak agar tidak mendedahkan tempat kerja mereka kepada umum. Juga semata-mata kerana mematuhi aspek keselamatan pekerja dan kilang emas itu sendiri.
"Aspek keselamatan ini memang perlu untuk mengelakkan kes jenayah berlaku," kata seorang penyelia kilang emas, Yeow Wan Fong.
Atas faktor-faktor keselamatan, gambarnya juga tidak boleh didedahkan oleh pihak media.
Berpeluang melihat kilang menempa emas bagi produk Tomei baru-baru ini memberikan pengalaman berbeza kerana ia ibarat memasuki sebuah lokasi rahsia.
Kedatangan penulis dan jurufoto, disambut oleh Pengurus Pemasaran Tomei, Christine Lim dan terus dibawa ke kilang tersebut secara sulit kerana pekerja di pejabat Tomei sendiri pun tidak mengetahui kedudukan kilang memproses barangan kemas tersebut.
"Hanya saya seorang sahaja pekerja dari Tomei yang mengetahui tentang kedudukan kilang ini. Ini semua atas faktor keselamatan," ujar Christine.
Bukan setakat lokasi yang tidak disangka-sangka, persekitaran bangunan kilang itu sendiri begitu unik.
Di sebalik grill yang berkunci, buruk dan kelihatan usang itu sebenarnya merupakan tempat di mana emas dibentuk menjadi barang kemas yang dipakai oleh wanita hari ini.
Sebaik memasuki kilang dari pintu yang boleh dikategorikan sebagai kecil dan tidak menarik itu, terserlah di dalamnya ruang yang cukup besar dengan pelbagai jabatan serta kakitangan yang bertugas.
Begitu banyak pintu masuk hingga tidak pasti mana satu yang kami gunakan. Juga terlalu banyak akses dari tangga yang berbeza yang menyulitkan untuk mengingati dari mana kita masuk.
Jurufoto juga tidak dibenarkan mengambil gambar pekerja atas faktor keselamatan.
Menurut Wan Fong, pekerja yang bekerja di kilang itu perlu diimbas untuk memastikan tiada pekerja yang tidak amanah.
"Terutamanya bahagian tambah nilai. Emas yang mereka bentuk pada awal pagi perlu ditimbang. Sebelum balik emas tersebut juga akan ditimbang sekali lagi bagi memastikan beratnya sama dengan ketika ia dibawa masuk. Jika kurang bermakna ada emas yang telah diambil. Perkara tersebut akan disiasat serta merta," jelasnya.
utusan online
KUALA LUMPUR 30 Nov. — Pemuda UMNO hari ini mengiktiraf jurukamera BernamaTV, Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor yang terkorban semasa mengikuti misi kemanusiaan di Somalia dengan Anugerah Kesatria Terbilang.
Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Megat Firdouz Megat Junid ketika mengumumkan anugerah itu menganggap Noramfaizul sebagai seorang pejuang yang berani.
Anugerah yang diadakan kali kedua itu disampaikan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin kepada ibu Noramfaizul, Naemah Abd Majid, 63 dan balunya, Norazrina Jaafar, 37, sebelum menyampaikan ucapan dasar pada perhimpunan agung pergerakan itu di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia, Tan Sri Omardin Mauju merupakan penerima pertama anugerah tersebut pada tahun lepas.
Noramfaizul, 39, terkorban akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia bagi membantu mangsa kebuluran Somalia, pada 2 Sept. lepas. — Bernama
KUALA LUMPUR: Tahap penguasaan bahasa Inggeris tenaga kerja Malaysia kini berada di tempat yang ketiga daripada lima negara ASEAN dalam ujian English Language Assessment (Penilaian Bahasa Inggeris)(ELA).
ELA yang dikendalikan oleh laman web pekerjaan JobStreet.com mendapati tenaga kerja Singapura menduduki tempat pertama dalam semua kategori pekerja dan pekerja di Filipina menduduki tangga kedua.
Thailand dan Indonesia pula masing-masing menduduki tangga keempat dan kelima, kata JobStreet.com dalam satu kenyataan, di sini, Selasa.
Ujian ELA merupakan seleksi 40 soalan yang dipilih secara rawak untuk menguji dan menilai kebolehan golongan terbabit dalam bahasa Inggeris.
Graduan dari Malaysia yang baru bekerja secara purata menjawab 27 daripada 40 soalan dengan betul, manakala graduan baru dari Filipina dan Singapura masing-masing mendapat 28 dan 30 jawapan tepat.
Jurang perbezaan antara pekerja Malaysia dan Singapura menunjukkan graduan masa kini kurang fasih berbahasa Inggeris, kata kenyataan itu.
"Trend ini merisaukan kerana kebolehan berkomunikasi merupakan salah satu daripada lima ciri utama yang menjadi kriteria majikan apabila menilai pemohon-pemohon kerja.
"Ini bermakna mereka yang tidak arif berbahasa Inggeris akan menghadapi kesukaran apabila mencari kerja," kata Pengurus negara Malaysia JobStreet.com, Chook Yuh Yng dalam kenyataan itu.
Keputusan ELA turut menunjukkan 'eksekutif kanan' dari Malaysia secara purata mendapat 29/40 sementara pengurus pula mendapat 31/40.
Pekerja Malaysia yang mencatatkan markah tertinggi adalah dari bidang kewartawanan (33/40), perubatan (32/40) dan pengurus taraf atas (31/40), sementara pekerja paling lemah dalam pengusaan bahasa Inggeris adalah jurutera industri (25/40, kerani (26/40) dan pekerja am (24/40), ELA yang dilancarkan pada November 2009 berjaya menarik lebih 1.5 juta pekerja dari Asia Tenggara untuk menguji tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka.
dipetik : mStar online
SHAH ALAM 25 Nov. - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menyeru pegawai-pegawai Mahkamah Syariah khususnya para Hakim Syarie agar bersedia berhadapan dengan cabaran-cabaran besar dengan melengkapkan diri dalam pelbagai disiplin ilmu agar keyakinan masyarakat terhadap Mahkamah Syariah tidak luntur.
"Beta dimaklumkan bahawa kes-kes di Mahkamah Syariah kini bukan lagi hanya tertumpu kepada kes-kes perceraian sahaja bahkan kini ia melibatkan kes tuntutan harta yang bernilai jutaan ringgit, juga kes-kes yang mencabar sensitiviti masyarakat seperti permohonan pengisytiharan bukan seorang Islam," titah baginda.
Selain daripada itu, titah baginda, kecekapan dan ketegasan dalam pengendalian kes akan dapat menegakkan keadilan.
Sultan Sharafuddin bertitah demikian pada Majlis Perasmian Bangunan Baru Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) di Persiaran Masjid Seksyen 5 di sini, hari ini.
Bagi mencapai matlamat itu, baginda bertitah, semua pihak yang terlibat terutamanya para peguam syarie, pendakwa syarie dan pihak yang bertikai perlu bersama-sama membantu mahkamah dengan membentangkan fakta yang sebenar agar keadilan dapat ditegakkan.
"Seseorang hakim itu akan melanggar etika kehakiman apabila membiarkan kepentingan persendiriannya bercanggah dengan tugas kehakiman hingga menjejaskan kedudukannya sebagai seorang hakim," titah baginda.
Baginda bertitah bahawa baginda masih lagi mendapat aduan daripada orang ramai tentang kes-kes Mahkamah Syariah terutama permohonan cerai dan fasakh serta pembahagian harta yang mengambil masa yang lama untuk kes diselesaikan hanya disebabkan perkara-perkara remeh yang sepatutnya boleh dielakkan.
"Justeru itu dengan adanya bangunan baru serta kemudahan-kemudahan yang diberikan, beta menyeru kepada pihak JAKESS supaya dapat mengatasi masalah ini agar kes-kes atau perbicaraan dapat dijalankan mengikut jadual dan diharapkan dapat diselesaikan dalam tempoh masa yang sepatutnya," titah baginda.
Sultan Sharafuddin juga bertitah, baginda tidak mahu lagi mendengar aduan-aduan negatif terhadap Institusi Kehakiman Syariah yang secara tidak langsung menjejaskan imej agama Islam di negeri ini.
Keutamaan perlu diberikan kepada kes-kes yang melibatkan rumahtangga agar tidak ada sesiapa yang teraniaya akibat kelalaian atau kecuaian pihak tertentu, titah baginda.
Baginda bertitah, pada masa yang sama Mahkamah Syariah juga perlu dilihat sebagai sebuah institusi yang berintegriti dan berkualiti tinggi kerana ini penting dalam usaha membina keyakinan serta kepercayaan masyarakat terhadap Mahkamah Syariah yang dulunya sering dianggap sebagai mahkamah kelas dua.
Bangunan baru ini juga menempatkan Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, dewan muktamar serta bilik hadhanah, bagi pengendalian kes-kes keluarga. — BERNAMA
KUALA LUMPUR 25 Nov. - Sebanyak RM5.9 bilion telah diperuntukkan kerajaan untuk melaksanakan 219 program yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 400,000 pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara, kata SME Corporation Bhd. (SMECorp).
Katanya, bagi memastikan keberkesanan program tersebut, kerajaan telah melangkah setapak lagi dengan melaksanakan pendekatan berasaskan hasil yang disasarkan pada tiga peringkat, iaitu makro, program dan peringkat firma.
Menurut SME Corp, salah satu pendekatan iaitu Pelan Induk PKS bertujuan mempercepatkan pertumbuhan PKS melangkah kehadapan.
Katanya, PKS bakal mendukung tugas yang lebih besar dalam memesatkan pembangunan ekonomi Malaysia di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).
''Memandangkan peranan baharu ini akan mewujudkan cabaran baharu yang merangkumi liberalisasi sektor perkhidmatan, satu pendekatan baharu diperlukan bagi mempercepatkan pertumbuhan PKS.
''Sehubungan itu, kerajaan dalam proses memuktamadkan Pelan Induk PKS bagi menetapkan hala tuju dasar bagi PKS sehingga tahun 2020.
''Kerajaan akan mewujudkan sebuah ekosistem yang kondusif untuk PKS berkembang dan mentransformasikan PKS tempatan supaya dapat berdaya saing di peringkat global bagi meningkatkan kemakmuran dan kesejahteraan negara,'' kata SMECorp.
SME Corp. berkata demikian bagi mengulas Laporan Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) 2010/2011 yang dilancarkan hari ini.
Laporan itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Kebangsaan (MPPK) Ke-12.
Laporan tersebut merupakan salah satu inisiatif utama yang dilaksanakan oleh MPPK dalam usaha menyebarkan maklumat berkenaan penilaian ke atas prestasi PKS serta program pembangunan PKS pada tahun semasa.
Dalam persekitaran global yang mencabar pada tahun lalu, PKS di Malaysia terus menunjukkan daya tahan yang tinggi.
Nilai ditambah PKS berkembang sebanyak 8.4 peratus, dalam lingkungan unjuran rasmi, iaitu pada 8 peratus hingga 8.5 peratus.
Bagi tahun ketujuh berturut-turut, pertumbuhan PKS adalah lebih tinggi daripada pertumbuhan keseluruhan KDNK, seterusnya telah meningkatkan sumbangan PKS daripada 28.1 peratus pada 2003 kepada 31.9 peratus pada tahun 2010.
Laporan juga telah menerbitkan data siri masa baru tentang guna tenaga dan produktiviti yang menunjukkan bahawa peningkatan dalam produktiviti turut menyumbang kepada pertumbuhan PKS yang memberangsangkan.
Bagi tempoh 2003 hingga 2010, produktiviti PKS telah meningkat pada kadar purata 4 peratus berbanding 3.1 peratus bagi firma besar.
Berikutan perkembangan yang positif ini, fokus kini adalah untuk mengintegrasikan PKS ke dalam arus perdana ekonomi, supaya PKS dapat memanfaatkan peluang yang muncul daripada langkah liberalisasi dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dalam usaha merealisasikan potensi pertumbuhan PKS.
Oleh itu, tema bagi Laporan pada tahun ini adalah "Memanfaat Peluang, Merealisasi Pertumbuhan". Inisiatif Pembangunan PKS Pada tahun 2010, sejumlah RM7.1 bilion telah dibelanjakan dalam melaksanakan 226 program yang telah memanfaatkan lebih 600,000 PKS.
Laporan ini memuatkan input daripada Kementerian dan Agensi yang terlibat dalam pembangunan PKS merentasi semua sektor ekonomi. Ia boleh didapati dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia serta boleh diakses daripada laman sesawang SME Corp.
credit - Utusan Malaysia
Adakah anda merupakan salah seorang guru sekolah agama rakyat? nampaknya anda boleh tersenyum gembira kerana apa yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjelaskan Guru-guru di sekolah agama rakyat (SAR) berpeluang mengikuti kursus perguruan lepasan ijazah dan diploma di bawah Kementerian Pelajaran bermula awal tahun depan.
Antara tujuannya ialah bagi membantu golongan guru-guru ini bagi menambah pendapatan serta meningkatkan kemahiran dalam pengajaran.
Namun ia masih diperingkat perbincangan, jadi diharapkan persetujuan diperolehi bagi menjamin pendapatan dan kehidupan yang lebih terjamin.
Persidangan Dewan Rakyat pada Rabu, meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 (Belanjawan 2012) berjumlah RM232.8 bilion.
Belanjawan 2012 itu diluluskan kira-kira 10.40 malam apabila bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Ahmad Husni Hanadzlah menyaksikan lebih suara menyokong.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir di Dewan Rakyat malam Rabu.
Pada 7 Oktober lepas, Najib membentangkan Belanjawan 2012 yang merangkumi RM181.6 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM51.2 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
Terdahulu, Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Wira Abu Seman Yusop yang menggulung perbahasan Kementerian Dalam Negeri berkata beliau akan menyemak semula sistem pengreddan jawatan dan gaji pegawai-pegawai kanan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata langkah itu wajar memandangkan gred gaji dan jawatan PDRM tidak disemak selama 30 tahun walaupun sistem penjawatan kakitangan kerajaan yang lain telah ditambah baik beberapa kali.
Justeru, katanya kementerian akan mengarahkan PDRM agar menyediakan kertas cadangan berkenaan penambahbaikan gred secara menyeluruh untuk dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
"KDN setuju dikaji semula pengredan PDRM selaras dengan tanggungjawab berat yang dipikul. KDN akan memberi keutamaan dalam hal ini," katanya.
Abu Seman juga berkata kementerian dan JPA turut menyemak semula skim gaji dan elaun-elaun khas bagi pegawai-pegawai rendah Jabatan Penjara.
- BERNAMA
Oleh Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan
RAMAI tidak tahu menyebabkan bilangan pembayar setiap tahun tidak sampai 100 peratus (%).
Bagaimana tahap kesedaran orang ramai terhadap amalan membayar zakat?
Jika dibandingkan dengan 10 tahun lalu, orang ramai semakin sedar mengenai kepentingan membayar zakat dan jumlahnya semakin bertambah sepanjang tahun.
Namun jumlah pembayar zakat belum mencapai tahap 100 peratus di mana ada segelintir individu yang layak membayar zakat, tetapi gagal berbuat demikian atau mungkin tidak tahu bahawa pendapatan yang mereka perolehi wajib dikenakan zakat.
Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana banyak saluran pembayaran sudah disediakan bagi memudahkan pembayar melaksanakan tanggungjawab mereka termasuk melalui potongan gaji, pembayaran secara dalam talian atau melalui kaunter Pusat Pungutan Zakat (PPZ).
Bagaimana untuk mengetahui sama ada pendapatan dimiliki itu wajib dikenakan zakat kerana mungkin ada individu berpendapatan kecil dan banyak tanggungan berpendapat mereka tidak perlu membayar zakat pendapatan.
Perkara utama yang harus dilakukan adalah membuat pengiraan untuk menentukan sama ada pendapatan dimiliki itu layak atau tidak perlu dikenakan zakat.
Pengiraan yang dikenakan agak mudah, malah kami menyediakan pelbagai saluran untuk membantu orang ramai membuat pengiraan sendiri. Mereka juga boleh mengunjungi PPZ untuk membuat pengiraan dengan bantuan kakitangan kami atau layari laman web PPZ yang mana kami turut menyediakan panduan pengiraan.
Sekiranya seseorang individu mempunyai banyak tanggungan, pengiraan turut membabitkan jumlah tanggungan dan ia akan ditolak daripada jumlah pendapatan tahunan. Tanggungan yang dimaksudkan termasuk ibu bapa, anak serta isteri.
Malah, beberapa perbelanjaan juga akan ditolak daripada pendapatan tahunan termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Selepas membuat pengiraan, mungkin ada pendapatan individu yang tidak diwajibkan zakat, namun adalah digalakkan untuk membuat potongan gaji walaupun serendah RM10 kerana sekurang-kurangnya ia dapat membantu kerajaan membasmi kemiskinan dan pada masa sama menyucikan pendapatan kita.
Setiap tahun, bilangan pembayar zakat tidak mencapai jumlah 100% dan ini bermakna masih ada yang enggan berbuat demikian. Apakah tidak ada tindakan boleh diambil untuk memastikan mereka melunaskan bayaran?
Setakat ini tidak ada akta khusus untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang gagal membayar zakat, malah kami menggunakan kaedah mendidik bagi memastikan jumlah pembayar zakat meningkat setiap tahun.
Walaupun tidak ada akta untuk menghukum, namun kerajaan menyediakan pelbagai insentif untuk pembayar zakat antaranya rebat cukai pendapatan individu serta tolakan cukai daripada pendapatan agregat maksimum sebanyak 2.5% peratus bagi syarikat yang membayar zakat perniagaan mereka.
Apa harapan dan nasihat PPZ terhadap orang ramai yang mungkin masih keliru dan tidak tahu mengenai pembayar zakat pendapatan dan perniagaan.
Zakat adalah satu daripada rukun Islam dan zakat adalah proses pemulangan hak orang lain dalam harta kita. Dengan berzakat ia dapat membersihkan diri daripada bersifat bakhil.
Tidak timbul isu kita jatuh miskin sekiranya mengeluarkan sedikit duit untuk membayar zakat kerana Allah menjanjikan pulangan 700 kali ganda daripada jumlah dikeluarkan. Dengan pelbagai kemudahan, tiada alasan untuk kita tidak membayar zakat.
Ahli lembaga syarikat juga perlu memainkan peranan menyemak akaun syarikat sama ada wajib zakat atau tidak kerana ia akan dipersoalkan di akhirat.
Berita baik bagi kakitangan awam di Perak
IPOH, 21 Nov (Bernama) -- Kakitangan kumpulan sokongan kerajaan negeri Perak yang akan bersara mulai 2012 akan menikmati pemberian khas berupa Sijil Amanah Saham Wawasan bernilai RM3,000 sebagai menghargai sumbangan mereka, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Ketika membentangkan Belanjawan 2012, beliau berkata pemberian itu akan melibatkan anggota-anggota di bawah pentadbiran kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun di mana sejumlah RM2 juta diperuntukkan.
"Untuk meningkatkan lagi kecemerlangan perkhidmatan awam di negeri ini, semua penjawat awam perlu memperlengkapkan diri bagi menghadapi sebarang cabaran.
"Ke arah itu sebuah institut latihan yang baru serba lengkap dengan kemudahan yang dibina bagi menggantikan Institut Latihan Pegawai Awam yang ada pada masa ini di Jalan Raja Dihilir," katanya.
Institut baru ini juga akan digunakan untuk latihan kepimpinan, kenegaraan dan juga kursus pengupayaan golongan yang memerlukan di mana sebagai permulaan sebanyak RM100,000 disediakan pada 2012 untuk kerja-kerja awal, katanya.
Beliau berkata mengenai pengumuman Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) mulai tahun 2012 yang diumumkan Perdana Menteri semasa membentangkan Belanjawan Persekutuan, kerajaan negeri memperuntukkan RM18 juta bagi melaksanakan pelarasan tersebut.
Pelaksaan sistem saraan baru ini akan melibatkan pelarasan gaji dengan kenaikan antara tujuh dan 13 peratus serta kenaikan gaji antara RM80 dan RM320 mengikut gred.
Zambry berkata Majlis Transformasi Agensi Perak (Mantap) merupakan satu lagi inisiatif baru yang dibawa kerajaan negeri dengan peruntukan disediakan sebanyak RM500,000 dalam usaha memantapkan lagi jentera kerajaan dengan penggunaan teknik dan pendekatan Strategi Lautan Biru.
Beliau juga merakamkan tahniah kepada beberapa jabatan yang berjaya dalam usaha meningkatkan produktiviti dan menerima pengiktirafan iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran Manjung yang mendapat penarafan empat bintang.
"Pejabat Kewangan Negeri dan Majlis Perbandaran Manjung yang mendapat persijilan MS-ISO9001:2008 serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Tanah dan Galian Negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran, beberapa buah Pejabat Daerah dan Tanah serta Pihak Berkuasa Tempatan yang berjaya mendapat Persijilan Amalan Persekitaran Berkualiti 5S," katanya.
Penarafan Empat Bintang Indeks Akauntabiliti yang diraih Pejabat Kewangan Negeri bagi tiga tahun berturut-turut daripada Ketua Audit Negara diharap menjadi semangat kepada jabatan lain pada masa hadapan, katanya.
"Kejayaan seperti ini memberi gambaran bahawa perkhidmatan awam di negeri Perak berada di landasan yang betul serta kukuh dalam menuju kecemerlangan untuk kebaikan kita bersama," katanya.
-- BERNAMA