Persidangan Dewan Rakyat pada Rabu, meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 (Belanjawan 2012) berjumlah RM232.8 bilion.

Belanjawan 2012 itu diluluskan kira-kira 10.40 malam apabila bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Ahmad Husni Hanadzlah menyaksikan lebih suara menyokong.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir di Dewan Rakyat malam Rabu.

Pada 7 Oktober lepas, Najib membentangkan Belanjawan 2012 yang merangkumi RM181.6 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM51.2 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Terdahulu, Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Wira Abu Seman Yusop yang menggulung perbahasan Kementerian Dalam Negeri berkata beliau akan menyemak semula sistem pengreddan jawatan dan gaji pegawai-pegawai kanan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata langkah itu wajar memandangkan gred gaji dan jawatan PDRM tidak disemak selama 30 tahun walaupun sistem penjawatan kakitangan kerajaan yang lain telah ditambah baik beberapa kali.

Justeru, katanya kementerian akan mengarahkan PDRM agar menyediakan kertas cadangan berkenaan penambahbaikan gred secara menyeluruh untuk dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"KDN setuju dikaji semula pengredan PDRM selaras dengan tanggungjawab berat yang dipikul. KDN akan memberi keutamaan dalam hal ini," katanya.

Abu Seman juga berkata kementerian dan JPA turut menyemak semula skim gaji dan elaun-elaun khas bagi pegawai-pegawai rendah Jabatan Penjara.

- BERNAMA

0 comments

diskripsi tugas dirujuk kepada laman web SPA