KUALA LUMPUR 25 Nov. - Sebanyak RM5.9 bilion telah diperuntukkan kerajaan untuk melaksanakan 219 program yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 400,000 pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara, kata SME Corporation Bhd. (SMECorp).
Katanya, bagi memastikan keberkesanan program tersebut, kerajaan telah melangkah setapak lagi dengan melaksanakan pendekatan berasaskan hasil yang disasarkan pada tiga peringkat, iaitu makro, program dan peringkat firma.
Menurut SME Corp, salah satu pendekatan iaitu Pelan Induk PKS bertujuan mempercepatkan pertumbuhan PKS melangkah kehadapan.
Katanya, PKS bakal mendukung tugas yang lebih besar dalam memesatkan pembangunan ekonomi Malaysia di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).
''Memandangkan peranan baharu ini akan mewujudkan cabaran baharu yang merangkumi liberalisasi sektor perkhidmatan, satu pendekatan baharu diperlukan bagi mempercepatkan pertumbuhan PKS.
''Sehubungan itu, kerajaan dalam proses memuktamadkan Pelan Induk PKS bagi menetapkan hala tuju dasar bagi PKS sehingga tahun 2020.
''Kerajaan akan mewujudkan sebuah ekosistem yang kondusif untuk PKS berkembang dan mentransformasikan PKS tempatan supaya dapat berdaya saing di peringkat global bagi meningkatkan kemakmuran dan kesejahteraan negara,'' kata SMECorp.
SME Corp. berkata demikian bagi mengulas Laporan Tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) 2010/2011 yang dilancarkan hari ini.
Laporan itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Kebangsaan (MPPK) Ke-12.
Laporan tersebut merupakan salah satu inisiatif utama yang dilaksanakan oleh MPPK dalam usaha menyebarkan maklumat berkenaan penilaian ke atas prestasi PKS serta program pembangunan PKS pada tahun semasa.
Dalam persekitaran global yang mencabar pada tahun lalu, PKS di Malaysia terus menunjukkan daya tahan yang tinggi.
Nilai ditambah PKS berkembang sebanyak 8.4 peratus, dalam lingkungan unjuran rasmi, iaitu pada 8 peratus hingga 8.5 peratus.
Bagi tahun ketujuh berturut-turut, pertumbuhan PKS adalah lebih tinggi daripada pertumbuhan keseluruhan KDNK, seterusnya telah meningkatkan sumbangan PKS daripada 28.1 peratus pada 2003 kepada 31.9 peratus pada tahun 2010.
Laporan juga telah menerbitkan data siri masa baru tentang guna tenaga dan produktiviti yang menunjukkan bahawa peningkatan dalam produktiviti turut menyumbang kepada pertumbuhan PKS yang memberangsangkan.
Bagi tempoh 2003 hingga 2010, produktiviti PKS telah meningkat pada kadar purata 4 peratus berbanding 3.1 peratus bagi firma besar.
Berikutan perkembangan yang positif ini, fokus kini adalah untuk mengintegrasikan PKS ke dalam arus perdana ekonomi, supaya PKS dapat memanfaatkan peluang yang muncul daripada langkah liberalisasi dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dalam usaha merealisasikan potensi pertumbuhan PKS.
Oleh itu, tema bagi Laporan pada tahun ini adalah "Memanfaat Peluang, Merealisasi Pertumbuhan". Inisiatif Pembangunan PKS Pada tahun 2010, sejumlah RM7.1 bilion telah dibelanjakan dalam melaksanakan 226 program yang telah memanfaatkan lebih 600,000 PKS.
Laporan ini memuatkan input daripada Kementerian dan Agensi yang terlibat dalam pembangunan PKS merentasi semua sektor ekonomi. Ia boleh didapati dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia serta boleh diakses daripada laman sesawang SME Corp.
credit - Utusan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
diskripsi tugas dirujuk kepada laman web SPA
0 comments
Post a Comment