KUANTAN, 26 Nov (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik saranan Ketua Setiausaha Negara yang mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) fleksibel dalam menentukan penempatan semula agar tidak perlu mewujudkan jawatan baru dan menambah petugas dalam sektor perkhidmatan awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata cadangan Datuk Seri Dr Ali Hamsa itu merupakan satu daripada transformasi yang dilakukan kerajaan dalam memantapkan lagi penjawat awam dari segi kualiti dan kuantiti.

"Tidak perlu lagi penambahan jawatan baru apabila wujudnya kerja tambahan, sebaliknya JPA perlu letakkan pegawai yang sedia ada melakukan kerja tambahan melalui proses penyusunan semula tanpa perlu melantik pegawai baru," katanya kepada pemberita selepas majlis Hari Kualiti dan Inovasi 2012 di Universiti Malaysia Pahang Isnin.

Beliau berkata jabatan atau jawatan yang berkemahiran tinggi seperti sektor kesihatan, pendidikan dan keselamatan bagaimanapun memerlukan pelantikan baru serta penambahan anggota dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

"Jawatan yang berkemahiran tinggi seperti doktor, jururawat, guru, polis dan sebagainya perlu ada lantikan baru, jawatan mereka tidak boleh dimansuh atau dibekukan kerana jawatan-jawatan ini penting," katanya.

0 comments

diskripsi tugas dirujuk kepada laman web SPA