Hari ini bila saya buka akhbar terlihat tajuk Ceupacs nak boikot PTK. Mengapakah Ceupacs ingin memboikot PTK?
1- Apakah isu sebenar yang menyebabkan PTK dilihat sebagai menimbulkan masalah.
Pertama ialah soalan PTK. Kita mendapati ada soalan yang tidak relevan dan sesuai dengan kumpulan sasaran. Bahagian soalan umum, mungkin kakitangan bolehmembaca kerana seragam, tetapi bahagian soalan khusus, iaitu mengenai bidang pekerjaan kakitangan menimbulkan banyak masalah. Jika pekerjaan saya ialah juruteknik, soalan khusus sepatutnya adalah hanya mengenai pekerjaan itu. Bagaimanapun, seorang juruteknik elektrik sudah tentu tidak boleh menjawab soalan
berkaitan juruteknik mekanikal. Apabila soalan sama, ini menimbulkan masalah. Jika saya jawab, jawapan itu tidak tepat dan akan gagal. Ini menyebabkan pada 2003 dan 2004, ramai gagal dalam peperiksaan yang ketika itu diadakan sekali setahun, berbanding empat kali setahun sekarang. Masalah soalan dihadapi hampir semua agensi dan jabatan kerajaan. Kakitangan kumpulan Pengurusan dan Profesional pun mempertikaikan peperiksaan PTK. Jika tidak, mengapa sebuah persatuan kumpulan ini mempertikaikan PTK walaupun kakitangan kumpulan ini menghadiri kursus sebelum menduduki PTK. Bagaimanapun, kumpulan sokongan satu dan dua tidak ada kursus. Mereka terpaksa membaca sendiri dan menduduki peperiksaan. Mana boleh!
2-Isu kedua.
Apabila seseorang lulus peperiksaan PTK sama ada Aras Empat atau cemerlang, dia sepatutnya mendapat anjakan gaji, tetapi ini tidak berlaku. Dalam pekeliling perkhidmatan awam, setiap kakitangan yang lulus PTK Aras Empat akan mendapat anjakan gaji dan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat. Aras Tiga tidak mendapat anjakan gaji, tetapi boleh dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat. Malangnya selepas lulus Aras Empat, mereka tidak mendapat anjakan gaji dan kenaikan pangkat. Anjakan gaji bukan secara automatik, tetapi apabila ada temu duga untuk kenaikan pangkat, mereka diberi lebih keutamaan kerana lulus PTK. Sebarang kenaikan pangkat memerlukan kakitangan lulus PTK, tetapi perkara ini tidak berlaku. Banyak kes begini berlaku.
3-Ada tanggapan bahawa PTK terlalu berorientasikan peperiksaan. Adakah ini benar.
Ya! Sebagai contoh bagi kumpulan pengurusan dan profesional mempunyai tugasan seperti penyelidikan dan pembelajaran yang lengkap, tetapi jika tidak lulus PTK, mereka tidak akan dipertimbangkan untuk mendapat kenaikan pangkat. Sebelum ada PTK, tugasan seperti menulis kertas kerja, seminar dan penyelidikan mencukupi untuk mendapat kenaikan pangkat. Sekarang tanpa kelulusan PTK, kakitangan kumpulan ini tidak boleh pergi ke jawatan lebih tinggi. Bukankah ini menunjukkan PTK menjadi penghalang. Bagi kakitangan kumpulan sokongan, ada yang prestasi kerja cemerlang tiga tahun berturut-turut, tetapi tidak lulus PTK juga menyebabkannya tidak layak mendapat kenaikan pangkat. Pada masa sama, kelulusan cemerlang dalam PTK juga tidak menjamin mendapat kenaikan pangkat atau anjakan gaji apabila prestasi kerja tidak cemerlang. Sekarang ramai yang lulus PTK tidak mendapat anjakan gaji. Apabila saya pergi menghadiri taklimat, ramai yang menyokong PTK dimansuhkan.
Apakah tiada langsung aspek positif dalam PTK.
Jika PTK dilaksanakan dengan cara terbaik, kita nampak PTK memang menguji tahap kemampuan kakitangan, tetapi sistem itu mesti yang terbaik. Pelaksanaan mesti dilakukan dengan tersusun dan bukan timbul masalah berbulan-bulan hendak mendapat keputusan, lulus cemerlang tiada anjakan gaji dan penilaian prestasi diambil kira dalam kenaikan pangkat. Banyak perkara yang bercelaru. Masalah pilih kasih masih berlaku. A lulus PTK dengan cemerlang, manakala B gagal tetapi prestasi kerja bagus. B akan menjadi pilihan untuk memangku jawatan jika ketua jabatan mahukannya. Ketua jabatan mempunyai hak mutlak. Kadangkala penilaian dibuat berdasarkan cakap orang. Ini menyebabkan aspek penilaian prestasi juga menjadi satu masalah kerana tidak mengikut sistem dan tidak memanggil orang yang dinilai. Inilah perkara yang menjadi kerunsingan. Apabila saya pergi ke mana-mana, banyak yang memberi pandangan negatif. Walaupun ada yang memberi pandangan positif terhadap PTK, dia tidak melihat secara menyeluruh. Kita berdasarkan pandangan majoriti. Jika saya secara individu, PTK mungkin bagus apabila saya lulus, mendapat anjakan gaji dan kenaikan pangkat.
artikel dipetik dari mesra.net
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
diskripsi tugas dirujuk kepada laman web SPA
0 comments
Post a Comment