MELAKA, 9 Mac (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia dapat dilaksanakan segera.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata sebaiknya perbincangan berhubung langkah penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dimulakan dari sekarang selepas sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dibatalkan.

"Kita harap suruhanjaya ini cepat ditubuhkan dan dapat jasa baik Perdana Menteri, siapa yang jadi pengerusi (suruhanjaya) dapat diumumkan secepat mungkin.

"Ini kerana nak menyediakan sesuatu skim bukannya mudah," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri Melaka di Ibu Pejabat Kontinjen Melaka, di sini Jumaat.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada perjumpaan khas penjawat awam di Putrajaya semalam. Beliau turut mengumumkan pembatalan SBPA dan pelaksanaan semula SSM yang ditambah baik, termasuk pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus.

Bernama
9/3/2012

0 comments

diskripsi tugas dirujuk kepada laman web SPA