20,000 jawatan kosong diisi segera menerusi skim khas

KUALA LUMPUR: Sebanyak 20,000 pelbagai jawatan dalam perkhidmatan awam yang masih belum diisi, akan ditawarkan kepada pekerja sektor swasta yang diberhentikan akibat kelembapan ekonomi dunia.

Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam bersetuju mengadakan skim khas bagi menyerapkan pekerja terbabit dalam jawatan berkenaan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata pihaknya kini dalam proses mencari mekanisme sesuai bagi membuat pengambilan secara terus dan serta-merta.

"Seramai 15,700 pekerja terutama dalam sektor perindustrian yang diberhentikan baru-baru ini, dijangka mendapat manfaat menerusi skim bagi mengatasi masalah pengangguran.

"Usaha juga akan dilakukan bagi membantu hampir 45,000 pekerja yang berhadapan risiko diberhentikan berikutan tindakan majikan masing-masing mengurangkan kos operasi," katanya pada sidang media selepas majlis konvokesyen ke-15 Kolej Tafe Seremban di sini, semalam.

Baru-baru ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menjangka hampir sejuta pekerja tempatan dalam pelbagai sektor termasuk elektronik dan pembuatan akan diberhentikan menjelang akhir tahun ini.

Berikutan itu, Timbalan Presiden MTUC, Mohd Khalid Atan, meminta lebih 270 syarikat dan ejen pengambilan pekerja asing menghentikan segera pengambilan tenaga kerja asing bagi memberi peluang rakyat tempatan mendapatkan pekerjaan.

Terdahulu, dalam ucapannya, Subramaniam berkata, pelbagai syarikat di negara ini juga masih mempunyai satu juta kekosongan pekerjaan yang belum diisi.

"Ada 12 juta kekosongan jawatan di negara ini dan daripada jumlah itu, hanya 11 juta yang sudah diisi. Jadi, tidak ada masalah mendapatkan kerja sebab kerja banyak, cuma pekerja saja yang kurang," katanya.

Beliau berkata, kementeriannya turut menerima aduan daripada pelabur asing mengenai kesukaran mendapatkan pekerja tempatan yang memenuhi keperluan sehingga menyebabkan mereka terpaksa menggaji pekerja asing.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pekerja tempatan supaya meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris dan sentiasa mempelajari teknologi baru bagi memenuhi keperluan majikan termasuk pelabur asing.

"Kerajaan juga akan membantu termasuk meneliti semula latihan di institut pengajian tinggi awam dan swasta serta institut kemahiran supaya graduan yang dihasilkan dapat memenuhi pasaran global," katanya.

0 comments

diskripsi tugas dirujuk kepada laman web SPA