Kokus Ahli Parlimen Wanita mengutuk percerobohan kehidupan peribadi Wakil Rakyat

PETALING JAYA: Dua hari selepas gambar bogelnya dilaporkan tersebar di internet, Ketua Penerangan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Elizabeth Wong Keat Ping, semalam mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Ahli Exco Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan.

Wong, 37, yang kali pertama berdepan dengan media pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di sini, sejak penyebaran gambar bogelnya didedahkan akhbar Isnin lalu, dengan sebak berkata beliau mengambil keputusan menawarkan diri meletak jawatan itu demi kepentingan parti.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam kenyataannya pula menyatakan, beliau sudah menerima surat Wong yang menawarkan peletakan jawatannya dan akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mendapatkan nasihat baginda.

Dalam kenyataan empat perenggan itu, Abdul Khalid bagaimanapun menasihatkan Wong supaya mengambil cuti dan berehat berikutan dugaan serta tekanan yang dilaluinya.

Beliau menyifatkan kejadian yang menimpa Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Hal-Ehwal Pengguna itu sebagai sangat malang kerana pihak berkenaan menggunakan perbuatan keji untuk merosakkan nama dan integritinya.

Gambar bogel Wong dalam pelbagai posisi itu, yang dirakamkan ketika beliau tidur di sofa dipercayai di rumahnya, disebarkan menerusi internet sejak beberapa hari lalu. Berikutan itu, Wong membuat laporan di balai polis Damansara, Ahad lalu.

Wong yang membaca kenyataan pada sidang akhbarnya semalam berkata, beliau akan berbincang dengan Abdul Khalid untuk mengatur penyerahan tugasnya tetapi akan terus berkhidmat untuk rakyat dan berjuang untuk keadilan.

"Saya percaya gerakan memburukkan nama baik saya akan berterusan. Oleh itu saya membuat keputusan bagi kepentingan parti dan perjuangan kepada rakyat.

"Saya menerima sokongan padu daripada keluarga, pemilih di kawasan saya, rakan Pakatan Rakyat, kawan dan orang awam. Bagaimanapun, demi kepentingan parti, saya mengambil keputusan menawarkan diri meletak jawatan sebagai Exco dan Adun Bukit Lanjan," katanya.

Adun Bukit Lanjan itu berkata, sejak dua hari lalu terdapat cubaan pihak tertentu untuk mencemarkan nama baiknya dengan menceroboh kehidupan peribadinya dan beliau yakin Umno serta Barisan Nasional (BN) akan terus memanipulasi isu itu.

"Pihak berkenaan berkomplot memperkecilkan kewibawaan saya sebagai Exco dan pemimpin PKR. Walaupun kempen untuk memburukkan nama saya ini ditujukan kepada saya, tapi saya sedar matlamatnya adalah untuk memburukkan PKR," katanya.

Wong yang masih bujang bagaimanapun menegaskan, beliau tidak melanggar sebarang undang-undang dan tidak malu berhubung statusnya yang belum berkahwin.

Sebaik membaca kenyataan itu, beliau terus beredar sebelum wartawan, termasuk dari luar negara sempat mengemukakan soalan.

Hadir sama, Naib Presiden PKR, R Sivarasa, Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin, Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat, Nurida Mohamad Salleh dan Setiausaha Penyelaras DAP, Teresa Kok.

0 comments

diskripsi tugas dirujuk kepada laman web SPA