KUALA LUMPUR 9 Dis. - Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini melancarkan perkhidmatan LINK bergerak atau MobileLINK bagi meluaskan akses kepada orang ramai untuk berurusan dengan bank pusat.

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, perkhidmatan itu membolehkan bank pusat itu mendengar masalah orang ramai berhubung isu-isu berkaitan kewangan dan sistem kewangan negara.

"Ia merupakan salah satu usaha untuk memudahkan orang ramai terutama yang berada di luar bandar menyelesaikan isu-isu berhubung perkhidmatan perbankan yang ditawarkan oleh institusi-institusi kewangan," katanya semasa berucap melancarkan MobileLINK di sini hari ini.

MobileLINK akan meluaskan perkhidmatan BNMLINK dengan menggunakan koc yang ditempah khas dan dilengkapi dengan kemudahan asas serta teknologi sokongan.

Selain meningkatkan akses perkhidmatan perbankan asas kepada orang ramai melalui kerjasama dengan institusi-institusi kewangan, MobileLINK juga memberikan khidmat nasihat perbankan, insurans dan takaful serta hal-hal pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), maklumat mengenai kredit peribadi melalui Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) serta khidmat nasihat berkaitan dengan kewangan di bawah kawal selia BNM.

Koc MobileLINK akan memulakan perkhidmatannya pada 17 Disember ini dari Mersing, Johor dan akan singgah di 12 lokasi di seluruh Semenanjung Malaysia.

Antara kawasan-kawasan yang akan disinggahinya adalah Pekan dan Jerantut, Pahang, Dungun, Terengganu, Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Baling, Kedah.

Untuk maklumat lanjut mengenai jadual MobileLINK, orang ramai boleh melayari laman web Bank Negara di www.bnm.gov.my atau rangkaian sosialnya di www.facebook.com/bnm.official.

0 comments

diskripsi tugas dirujuk kepada laman web SPA