Belia cenderung bidang teknikal mampu raih kerjaya, pendapatan lumayan

ALOR SETAR: Belia yang cenderung dalam bidang teknikal perlu memanfaatkan pelbagai skim latihan kemahiran disediakan Kementerian Sumber Manusia supaya mereka mampu meraih kerjaya dan pendapatan lebih baik.

Timbalan Menterinya, Datuk Maznah Mazlan, berkata langkah itu selaras dengan sasaran kerajaan mahu memastikan negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 tercapai melalui Pelan Transformasi Ekonomi (ETP).
“Kerajaan melalui kementerian ini menyediakan banyak program latihan kemahiran bagi belia yang berminat dalam bidang berkenaan.

“Melalui latihan khusus disediakan, kita menetapkan sasaran tenaga kerja berkemahiran, sekali gus pendapatan mereka meningkat selaras dengan matlamat mencapai negara berpendapatan tinggi,” katanya ketika merasmikan penutup Kejuaraan Pencak Silat Kebangsaan Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) di sini, petang kelmarin.

Hadir sama, Yang Dipertua Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia, Datuk Adiwijaya Abdullah.

Pada majlis itu, pertubuhan terbabit menganugerahkan selempang Srikandi Seri Cahaya Pelangi PSSGM kepada ahli perniagaan, Umi Hafilda Ali yang disarungkan oleh Yang Dipertua Ibu Gayong pertubuhan berkenaan, Datin Faridah Abu Johan.
Maznah dalam ucapannya juga menggesa 50,000 ahli PSSGM supaya menjunjung tinggi nilai tradisi yang diamalkan pertubuhan itu yang ditubuhkan sejak sekian lama kerana seni silat adalah warisan Melayu sejak berzaman.

“Kita mahu generasi muda Melayu dan beragama Islam meneruskan perjuangan memartabatkan seni silat supaya ia terus menjadi warisan bangsa,” katanya.

Oleh Azmi Md Deros
azmimd@bharian.com.my
2011/12/27

0 comments

diskripsi tugas dirujuk kepada laman web SPA