MELAKA 10 Dis. - Belum pun sempat kakitangan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Melaka mendengar taklimat untuk melicinkan pengurusan agihan borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), pejabat itu diserbu orang ramai seawal pukul 7.30 pagi untuk mendapatkan borang bantuan sebanyak RM500 itu.
Tinjauan Mingguan Malaysia di pejabat LHDN negeri di Melaka Mall, Lebuh Ayer Keroh di sini mendapati, keadaan sesak berjaya dikawal sebelum beberapa petugas mengedarkan borang itu sebaik sahaja pintu pejabat dibuka pada pukul 8 pagi.
Pengarah LHDN negeri, Robiah Muhamad berkata, sebanyak 150,000 borang BR1M diedarkan kepada rakyat di negeri itu untuk memohon bantuan sebanyak RM500 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.
Menurutnya, borang-borang tersebut bukan sahaja boleh didapati di pejabat LHDN dan cawangannya tetapi juga di semua 28 pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ia turut diedarkan serentak hari ini.
"Keseluruhannya terdapat 32 lokasi disediakan bagi membolehkan mereka yang layak mendapatkan borang dan memohon bantuan RM500 itu," katanya di sini hari ini.
Tinjauan sehingga pukul 9 pagi mendapati, orang ramai tidak perlu beratur panjang untuk mendapatkan borang tersebut kecuali untuk membuat salinan kad pengenalan.
Beberapa petugas juga ditempatkan di tingkat bawah bangunan itu tanpa perlu ke pejabat LHDN yang terletak di tingkat dua untuk mengedarkan borang kepada orang ramai.
Warga emas, Yiow Ching Yen, 71, berkata, dia lega kerana tidak perlu berasak-asak untuk mendapatkan borang walaupun datang pada pukul 9 pagi.
"Saya cuma tinggal dengan isteri, anak-anak sudah besar. Wang RM500 ini pun saya akan guna untuk tampung perbelanjaan dapur," katanya.
Ibu kepada tujuh anak, Zuraida Abidin, 40, berkata, bantuan sebanyak RM500 dapat meringankan bebannya dan suami untuk menyara lima anak yang masih bersekolah dan dua yang masih kecil.
"Namun, saya berharap, para peniaga jangan mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang sesuka hati kerana tujuan kerajaan memberi bantuan ini untuk meringankan beban rakyat," katanya.
G. Mohan, 36, dari Bachang Baru turut tidak terkecuali mendapatkan borang itu dan menyifatkannya sebagai bukti keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
diskripsi tugas dirujuk kepada laman web SPA
0 comments
Post a Comment