IPOH 10 Dis. - Kerajaan akan menambah peruntukan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang berjumlah RM2.6 bilion bagi memastikan semua keluarga berpendapatan kurang RM3,000 sebulan menerima bantuan khas RM500 yang dijanjikan.
Sehubungan itu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah memberi jaminan semua keluarga terlibat akan menerima bantuan itu walaupun bilangannya nanti melebihi anggaran asal seramai 5.2 juta isi rumah.
“Kita belum tahu bilangan isi rumah yang layak. Namun dianggarkan 5.2 juta atau 83 peratus daripada 6.2 juta isi rumah yang dilaporkan di seluruh negara layak menerima bantuan khas itu.
“Sekiranya bilangan yang layak melebihi 5.2 juta isi rumah, mereka akan dapat juga,” katanya selepas melancarkan pendaftaran BR1M di Dewan Komuniti 1Malaysia Chemor, dekat sini hari ini.
Pada pembentangan Bajet 2012 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan pemberian bantuan tunai sekali bayar sebanyak RM500 kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan dan ke bawah yang akan diagihkan mulai 16 Januari depan manakala tempoh pendaftaran akan bermula hari ini hingga 10 Januari.
0 comments
Post a Comment